JOHOR BAHRU: Perancangan untuk menubuhkan satu agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan negara (SBA) untuk menggantikan lebih 20 agensi ketika ini sedang dalam peringkat akhir pelaksanaannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perancangan untuk menubuhkan agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan telah dimulakan sejak 2018 lagi.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu dibuat dengan mengambil contoh agensi sempadan di negara-negara antarabangsa seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan New Zealand.
“Kita sekarang di peringkat akhir perbincangan ke arah menterjemahkan idea ‘single border agency’, kita tahu bahawa kawal selia sempadan biasa libatkan banyak agensi, kalau kita berhasil wujudkan SBA, itu adalah arah tuju paling tepat untuk kita laksana penambahbaikan terhadap pengawalan sempadan negara.
“Dalam melaksanakan inisiatif ini, lebih daripada 20 agensi akan disatukan antaranya Jabatan Imigresen, Maqis, Jabatan Kastam dan lain-lain, kesemua agensi ini kita satukan tanpa kompromi terhadap elemen keselamatan sebaliknya memanfaatkan teknologi dengan mengambil contoh amalan baik di beberapa negara antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mempengerusikan Masyuarat Jawatankausa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Tambah Saifuddin Nasution, inisiatif berkenaan kini di peringkat akhir dimana pihaknya sedang melakukan penyelarasan perincian akhir dengan beberapa agensi kerajaan terlibat sebelum pelaksanaan dimulakan secepat mungkin.
“Ini bukan pengalaman baharu, sewaktu penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) lalu, ia melibatkan sembilan agensi berbeza antaranya Tentera Laut dan Jabatan Perikanan. Kesemua agensi itu telah melalui proses libat urus dan menjadi satu agensi tunggal.
“Setelah APMM diwujudkan, kita dapat lihat akhirnya itu merupakan satu keputusan yang betul dimana kawalan sempadan maritim negara lebih terkawal jika diukur daripada sudut angka jenayah maritim.
“Sebab itu kita beri konotasi kita akan wujudkan satu agensi tunggal yang berkuat kuasa atas sempadan, tetapi mesti ada akta yang mengawal selia semua itu,” jelasnya.
Pada Julai 2021, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk mewujudkan SBA yang akan mengawal pintu masuk negara termasuk pelabuhan berikutan isu kesesakan di Tambak Johor.
Inisiatif penubuhan SBA merangkumi tujuh fungsi utama antaranya pemeriksaan pengembara, pemeriksaan barangan dan kargo, kuarantin tumbuhan, haiwan serta makanan dan pemeriksa kenderaan persendirian dan perdagangan.
Penggerak Daily