Categories
Berita Budaya Kesihatan

AGONG, PERMAISURI BERIBEN HIJAU SEMPENA HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2020

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan hari ini berkenan mengenakan riben hijau bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun.
Riben hijau merupakan simbol kesihatan mental antarabangsa, selain sebagai tanda sokongan bagi kesedaran dan penyebab kesihatan mental serta membantu membina solidariti untuk komuniti itu.
Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Tengku Puteri Iman Afzan merupakan Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 setelah menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini.
Pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan itu adalah bukti usaha murni Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, cara-cara perawatan dan cabaran polisi.
Usaha itu diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.
Naungan diraja Tengku Puteri Iman Afzan itu adalah hingga Oktober 2021.
Menurut kenyataan itu lagi, Tengku Puteri Iman Afzan dalam perutusannya sebagai Penaung Antarabangsa, mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana perkara tersebut adalah tanggungjawab semua.
Anakanda Seri Paduka berdua itu turut dipetik bertitah akan betapa pentingnya meluangkan masa dan memberi perhatian, sokongan, kasih sayang serta belas kasihan sesama kita bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental yang lebih baik.
Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *