Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati semua ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Sultan Abdullah dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong menegaskan belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, adalah amat penting kepada Kerajaan, khususnya kepada para petugas barisan hadapan.
“Seri Paduka Bangida menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya belanjawan diluluskan tanpa sebarang gangguan,” kata kenyataan itu.
Agong juga berkata sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19.
Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima mengadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.
PenggerakDaily