JOHOR BAHRU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menggesa agar jentera dan penyokong parti berkenaan untuk tidak berputus asa dengan keputusan penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, sebaliknya mereka perlu menyusun semula strategi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
“Keputusan PRN Johor tidak seperti apa yang kita harapkan dan masa juga tidak menyebelahi kita, namun ini bukan masanya untuk kita berputus asa.
“Kini adalah masa untuk kita menyusun semula strategi dan mengorak langkah maju ke depan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan. Pada tuhan kita yakin, berpadu kita mesti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam PRN Johor semalam, Warisan tewas di kesemua enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka antaranya di Pekan Nanas, Bekok, Johor Jaya dan Permas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna itu turut menzahirkan penghargaan terhadap kerja keras dan usaha berterusan ditunjukkan jentera parti itu serta rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan mereka.
“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional di atas kemenangan mereka dalam PRN Johor.
“Paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk Parti Warisan,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily