Categories
Berita Politik

AHLI PARLIMEN PKR DIJANGKA KELUAR PARTI AKIBAT MALU DENGAN ‘DRAMA’ POLITIK

PKR mungkin menerima gelombang kedua kehilangan ahli Parlimennya berikutan apa yang disifatkan seorang penganalisis sebagai satu kenyataan “mengaibkan” dari Istana Negara yang menolak dakwaan Anwar Ibrahim selepas mendapat perkenan mengadap Agong semalam, kata sumber kepada satu portal berita tempatan.

Sekurang-kurangnya empat ahli Parlimen dijangka keluar parti, dengan dua daripada mereka memberitahu portal tersebut mereka malu dengan “drama” di luar istana yang menjadi perhatian media selepas Anwar menghebahkan tentang pertemuannya dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Ada dalam kalangan kami diberi tekanan agar keluar parti, dan kenyataan istana hanya beberapa minit selepas sidang media Anwar semalam kelihatan seperti langkah terakhirnya,” kata seorang ahli Parlimen PKR.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan bertentangan dengan dakwaan Anwar yang beliau sudah menyerahkan “dokumen sahih” kepada Agong menunjukkan memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata, Anwar sekadar menyatakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membolehkannya mengambil alih Putrajaya.

“Bagaimanapun, beliau tidak mempersembahkan senarai ahli Parlimen bagi mengukuhkan dakwaan itu,” katanya.

Difahamkan mungkin akan berlaku “gelombang kecil kedua” ahli Parlimen keluar PKR, selepas sebelas orang melakukannya ketika krisis politik pada Februari lalu.

Ketika itu, timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengetuai satu kumpulan ahli Parlimen mengisytiharkan diri mereka menjadi wakil rakyat bebas, dengan sebahagian besar kemudiannya menyertai Bersatu untuk menambah jumlah kerusi Muhyiddin di Parlimen.

Ahli Parlimen yang mewakili kawasan penting di Lembah Klang itu berkata, Anwar memberikan gambaran “penuh yakin” mengenai rancangannya Jumaat lalu semasa mesyuarat bersama wakil rakyat PKR.

“Kami turut diberitahu untuk memakai pakaian terbaik apabila rancangan itu berjalan,” kata ahli Parlimen itu.

Walaupun  tidak dapat mengesahkan berapa jumlah sebenar ahli Parlimen akan keluar parti, sekiranya ia berlaku akan mengurangkan lagi jumlah kerusi PKR di Dewan Rakyat yang sememangnya sudah sedia berkurang.

PKR kini mempunyai 38 ahli Parlimen, namun difahamkan kumpulan tersebut membatalkan rancangan pada saat-saat terakhir walaupun memberi isyarat untuk menyertai Azmin pada Februari lalu.

Namun kali ini, tekanan semakin meningkat disebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi, selepas Anwar dilihat gagal mengemukakan bukti kepada dakwaannya memiliki majoriti “kukuh” untuk menumbangkan kerajaan.

 

Sumber: MalaysiaNow

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *