JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan menawarkan tempat tinggal sementara kepada lapan keluarga yang kini sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pertanian, Masai, Pasir Gudang, semalam.
Sukudesnedi Nadzir, 57, berkata, dia tidak perlu berfikir panjang berhubung perkara tersebut sebaliknya terus bertindak atas dasar keprihatinan dan ihsan sesama manusia.
Sehubungan itu, dia menawarkan kesemua lapan keluarga berkenaan untuk menetap sementara di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang.
“Saya menerima maklumat berkaitan kebakaran itu semalam, sebelum terus bergegas melawat lokasi kejadian. Terdetik niat untuk membantu kerana mereka bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang malah premis yang mereka tumpang itu tidak sesuai kerana kurang kemudahan.
“Secara kebetulan premis perniagaan yang saya beli dua bulan lalu memang memiliki beberapa bilik dan sesuai dijadikan tempat tinggal buat sementara waktu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah Sukudesnedi, dia dan isterinya kemudian turut membelikan barangan keperluan asas kepada keluarga terlibat antara seperti bantal, tilam, selimut dan lain-lain.
“Saya juga turut menyampaikan sejumlah wang tunai bagi kegunaan mereka yang masih terkesan dengan bencana yang dialami,” jelasnya.
Sementara itu, seorang mangsa kebakaran yang enggan dikenali memberitahu, dia amat berterima kasih dengan sumbangan kediaman sementara tersebut.
“Terima kasih kerana membantu kami ketika berada dalam kesusahan seperti ini, semoga Allah membalas jasa baik tuan,” katanya ringkas.
Penggerak Daily