JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri berasa bersalah selepas terlibat dalam pertengkaran dengan jirannya hanya kerana sindiket ahlong tersilap membakar kenderaan milik jirannya kerana hutang dibuat anak mereka.
Lim Lau Long, 62, memberitahu, pada 2 Februari lalu jirannya terbangun pada pukul 4 pagi dan mendapati kenderaan milik mereka yang terletak di depan rumah sedang terbakar.
Katanya, mereka bergegas memadamkan kebakaran itu sebelum menemui sekeping nota meminta anaknya membayar hutang dipinjam daripada ahlong.
“Jiran saya menghubungi nombor di kertas itu untuk memberitahu bahawa mereka telah tersalah rumah, namun sindiket itu tetap mengugut jiran kami dan mendesak agar kami membayar hutang.
“Sedangkan saya sudah tidak lagi berhubung dengan anak saya yang berusia 36 tahun itu sejak lebih 10 tahun lalu, kami juga tidak tahu dia berada di mana pada ketika ini.
“Tetapi disebabkan hutangnya, kini saya dan jiran yang telah berkawan baik selama 20 tahun mula bertengkar, perkara ini amat merungsingkan saya dan isteri,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, di sini.
Tambah Lau Long, kali terakhir dia mendengar perkhabaran tentang anak lelakinya itu adalah semasa dia bekerja di sebuah restoran di Singapura.
“Kami berhenti berhubung dengan dia kerana dia kerap meminjam wang dengan sindiket ahlong, ini bukan kali pertama berlaku, sebelum ini saya juga pernah membayarkan hutangnya.
“Disebabkan itu, kami juga mahu maklumkan kepada sindiket berkenaan bahawa kami tidak lagi berhubung dengan dia, jadi jangan ganggu kami atau jiran-jiran kami lagi selepas ini,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, isterinya, Chan Siew Lin, 57, pula memberitahu, mereka terpaksa membantu jirannya menanggung kerosakan kenderaan akibat kejadian tersebut.
“Kami bukan sahaja bertengkar dengan mereka, tetapi juga dengan jiran-jiran lain kerana mereka bimbang akan menjadi sasaran sindiket ahlong itu selepas ini.
“Kerana takut perkara ini berulang, kami buat laporan polis dan juga berjaga malam bagi memastikan keselamatan rumah kami dan jiran-jiran lain,” jelasnya yang merupakan seorang tukang jahit.
Penggerak Daily