JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mahu rakyat negeri ini khususnya masyarakat beragama Islam untuk mengambil iktibar peristiwa hijrah Rasulullah untuk masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata, detik ini (Maal Hijrah) merupakan hari yang amat istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia kerana mempunyai sejarah tersendiri.
“Selain mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Rasulullah, marilah kita menggunakan kesempatan ini dengan memasang azam dan iltizam untuk berusaha lebih gigih pada tahun baharu ini.
“Terutamanya dalam mendepani pelbagai cabaran ekoran pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
“Bukan hanya untuk menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga, malah setiap tindakan yang diambil perlu mengambil kira kepentingan agama, masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat Muslim agar bersama menghayati erti Maal Hijrah untuk berubah menjadi individu yang lebih baik.
“Sebagai umat Islam, marilah kita bersama-sama menghayati erti sebenarnya Maal Hijrah dengan kembali mematuhi tuntutan agama, iaitu berhijrah menjadi umat yang lebih baik daripada sebelumnya.
“Semoga sambutan Maal Hijrah kali ini menjadi peluang untuk kita bermuhasabah mencari kekuatan dan kelemahan diri,” ujarnya lagi.
Penggerak Daily