JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar pihak bertanggungjawab yang cuai dan khilaf dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh perlu dikenakan tindakan.
Sultan Ibrahim turut bertitah baginda mahu penjelasan disebalik tindakan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 kerana tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes pulau itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Titah baginda, tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang.
“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita. Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.
“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu. Adakah kita negeri anak tiri. Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya.
“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Sehubungan itu baginda mahu tindakan tegas diambil jika benar berlaku kekhilafan.
“Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titahnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan jemaah menteri bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan turut mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad pula memberitahu, kerajaan negeri memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan dalam mencapai matlamat mereka.
Penggerak Daily