Oleh: Editorial Penggerak Daily
Berkuatkuasa 1 September, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), akan menawarkan penyelesaian khusus untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk PKS mikro bagi menguruskan hutang mereka dan mempromosikan amalan pengurusan kewangan yang berhemat.
BNM berkata langkah itu dibuat berikutan perpindahan fungsi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) daripada Bank Negara Malaysia (BNM) kepada AKPK.
“Dengan pemindahan ini, AKPK akan menjadi platform sehenti untuk individu dan PKS mendapatkan perkhidmatan penstrukturan hutang, pendidikan dan khidmat nasihat kewangan,” katanya.
“AKPK boleh memberikan perkhidmatan penstrukturan hutang dan khidmat nasihat yang lebih cekap dan holistik untuk PKS yang mempunyai pinjaman dengan beberapa bank,” kata bank pusat itu.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2006, AKPK telah menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada 1,096 juta individu dan daripada jumlah itu sebanyak sebanyak 324,815 peserta telah memohon untuk mendaftar ke Program Pengurusan Hutang (DMP).
Memandangkan tempoh moratorium automatik yang berakhir pada 30 September 2020, PKS yang masih menghadapi kesukaran untuk memenuhi kewajipan pinjaman mereka disarankan untuk mendapatkan nasihat mengenai bantuan pembayaran balik daripada bank masing-masing.
Sejak tahun 2003, SDRS telah membantu lebih daripada 1,200 PKS untuk menjadual dan menyusun semula pembiayaan perniagaan mereka berjumlah RM1.7 bilion.
Sumber: BERNAMA