JOHOR BAHRU: Pembinaan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di bandar raya ini bakal menyelesaikan masalah kesesakan trafik Johor Bahru yang semakin kritikal ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, penyelesaian isu kesesakan bakal membawa limpahan ekonomi secara langsung.
Katanya, Johor Bahru merupakan satu-satunya bandar raya dalam jawatankuasa kabinet untuk kesesakan, ia cerminan keseriusan isu kesesakan serta keprihatinan kerajaan dalam mencari penyelesaian.
“Kerajaan negeri telah ‘kejar’ projek ini sejak dua tahun lalu dengan Kementerian Pengangkutan, dan akhirnya Request For Propsal (RFP) akan dikeluarkan dan jika semuanya lancar projek dijangka bermula suku ketiga tahun ini.
“Kita mahu pastikan apabila Rapid Transit System Link (RTS Link) beroperasi pada 1 Januari 2027, kita mempunyai satu sistem pengangkutan yang dapat menyurai trafik di pusat bandar raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasar Awam Taman Perling, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Tambah Ting Han, apabila RTS Link dan ART Bertingkat beroperasi kelak, ia bakal mempunyai impak ekonomi besar bukan sahaja negeri tetapi juga kepada rakyat tempatan dalam pelbagai sektor.
“Ia bakal memudah dan mempercepat pergerakan orang dan barangan, sekaligus menjadikan Johor Bahru lokasi mesra pengunjung termasuk pelancong domestik dan antarabangsa,” jelasnya.
Pada 10 Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu projek ART Bertingkat dijangka mula dibina pada suku ketiga tahun ini selepas RFP dikeluarkan.
Beliau dilaporkan berkata, sistem pengangkutan itu melibatkan tiga koridor utama iaitu Skudai, Tebrau, dan Iskandar Puteri bagi memperluas akses pengangkutan awam di kawasan berimpak tinggi negeri ini.
Penggerak Daily