KULAI: Sektor pertanian khususnya jaminan bekalan makanan akan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2022 bagi memastikan industri makanan negara tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import dalam jangka masa panjang.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan potensi sedia ada industri pertanian negara.
“Untuk Belanjawan 2022, kita mahu menekankan fokus kepada sektor pertanian, terutama daripada segi jaminan makanan kerana jika kita lihat ia adalah salah satu elemen utama dalam Pakej Rangsangan dan juga Belanjawan 2021.
“Jaminan makanan dan sektor pertanian akan tetap diberi keutamaan bagi membina asas untuk penambahbaikan agar kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import pada jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melawat Pusat Ternakan Kelah di Asuko Genius Sdn. Bhd., di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor dan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Salehuddin Hassan.
Tengku Zafrul turut memberitahu, usaha untuk meningkatkan lagi industri pertanian negara dilihat sebagai kesinambungan belanjawan tahun lalu melalui peruntukan yang telah disalurkan.
“Secara keseluruhan melalui pakej-pakej rangsangan dan Belanjawan 2021, RM3.15 billion diperuntukan untuk sektor pertanian dimana RM1.75 billion telah disalurkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk projek-projek berkaitan pertanian.
“Projek-projek yang telah dilaksana termasuklah yang berkaitan logistik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudahan mikro kredit di bawah Agrobank dan projek-projek negeri lain termasuk di negeri Johor,” ujarnya.
Sementara itu, dalam lawatan kerja dua hari beliau ke Johor, Tengku Zafrul turut menyatakan sokongan pihaknya kepada usaha kerajaan Johor untuk menjadi hab makanan negara.
“Hari ini saya turun padang untuk melihat potensi ohor dalam sektor pertanian yang merupakan penyumbang utama sektor pertanian dan agro makanan negara.
“Saya difahamkan ini selaras dengan misi menjadikan johor sebagai ‘Food Basket of Malaysia’ bagi membangunkan industri agro makanan yg kompetitif.
“Melalui bantuan kewangan, insentif geran dan kerjasama erat antara pusat dan negeri, diharap Johor akan terus meningkatkan pengeluaran makanan negara yang mampan serta berkualiti terutama yang melibatkan projek berskala besar, berimpak tinggi serta berteknologi tinggi,” jelasnya lagi.
Penggerak Daily