JOHOR BAHRU: Rakaman video tular yang memaparkan sebuah balai polis diserang sekumpulan lelaki bersenjata pada waktu malam adalah latihan dan simulasi agensi keselamatan berkenaan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar sehubungan itu berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang komen palsu berkenaan video tular tersebut.
Menurut beliau, latihan dan simulasi itu merupakan elemen penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan semua anggota polis di negeri ini.
“Latihan simulasi ini dijalankan di semua balai polis negeri ini bermula 2 Julai hingga 5 Ogos ini sebagai mana arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Simulasi ini bertujuan meningkatkan keberkesanan perancangan dan tindakan polis Johor dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, pihaknya komited memastikan pegawai dan anggota uniform berkenaan siap siaga menghadapi sebarang situasi krisis dan ancaman semasa.
“Sehubungan itu, kami meminta orang awak untuk tidak berasa panik dengan rakaman video berkenaan yang dilakukan di Balai Polis Pontian, sebelum ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan lelaki bersenjata seperti kayu ‘menyerang’ sebuah balai polis di negeri ini pada waktu malam.
Sekumpulan lelaki itu bukan sahaja menghentak senjata di pagar balai polis berkenaan, tetapi turut mengeluarkan kata-kata ugutan kepada anggota bertugas.
Penggerak Daily