Kata seorang sosiologis, Marcus – pembandaran merupakan satu proses yang tidak dapat dielakkan oleh setiap negara membangun. Pembandaran bermaksud perubahan sosial yang meluas, juga bermaksud peralihan dalam sektor ekonomi yang tidak dapat dielakkan daripada sebuah komuniti pertanian kepada sebuah komuniti industri.
Perubahan infrastruktur dan guna tanah adalah ketara dan memerlukan kawalan untuk mernastikan proses pembandaran dapat berjalan dengan licin dan tidak mendatangkan masalah dalam jangka masa panjang. Perancangan bandar dan wilayah adalah perlu untuk mengawal proses pembandaran. Corak kehidupan di bandar juga berubah mengikut keperluan kehidupan di bandar.
Proses ini menuntut perubahan, di mana tahap adaptasi yang tinggi di kalangan penduduknya adalah diperlukan. Pergerakan dan tindakan mereka mestilah lebih cepat berbanding dengan kehidupan di luar bandar. Pembandaran juga menyebabkan perubahan dalarn komposisi sesebuah komuniti.
Ini adalah kerana berlakunya migrasi penduduk ke kawasan bandar dari serata tempat dalam sesebuah negara untuk memenuhi keperluan tenaga buruh yang ditawarkan di bandar berkenaan.
Pasti, pelbagai masalah sosial dan persekitaran akan timbul sekiranya pembandaran terbentuk secara tidak dikawal dan secara tidak dirancang. Statistik United Nation pada 2010 menunjukkan lebih daripada 50 peratus jumlah penduduk dunia kini menetap di kawasan bandar.
Hal ini tidak terkecuali di Malaysia apabila jumlah penduduk yang mendiami kawasan bandar pada hari ini berjumlah 62 peratus (14 juta orang) sementara jumlah penduduk desanya kian berkurangan.
Jumlah penduduk bandar ini diunjurkan bertambah menjadi lebih 85 peratus atau hampir 35 juta orang pada tahun 2050. Kadar pembandaran telah mengalami pertambahan menjadi 72.1 peratus pada tahun 2010 berbanding 62.0 pada tahun 2000.
Kesan proses pembandaran kepada kehidupan dan kualiti hidup banyak dibincangkan. Daripada sosiologis klasik seperti Marx dan Durkheim hinggalah sosiologis komtemprori seperti Parillo. Dalam teori klasik, lebih ditekankan kepada hubungan psikologi-sosial antara manusia dengan peralihan sistem ekonomi manakala isu bagi sosiologis kontemprori ialah kesan moden kepada keadaan dunia yang mulai parah akibat pembangunan yang tidak lestari.
Antara masalah utama pembandaran ialah pencemaran. Menurut Jabatan Alam Sekitar, pada 2003, Kuala Lumpur mencatatkan purata pengeluaran CO tertinggi iaitu 3.18 ppm berbanding Shah Alam (1.29 ppm), Klang (2.01 ppm).
Kuala Lumpur juga mencatatkan purata pengeluaran NO2 tertinggi sebanyak 35.58 ppb berbanding Shah Alam (21.33 ppb) dan Klang (24.49 ppb) (Rujuk Lampiran A).
Kuala Lumpur juga merupakan penyumbang ketiga tertinggi TSP selepas Johor Bahru dan Georgetown iaitu 89µg/m3 pada tahun 2002.
Hasil data menunjukkan bahawa kadar bahan cemar di bandaraya utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Georgetown secara relatifnya tinggi dan meningkat kesan peningkatan kenderaan persendirian. Sekiranya tidak dikawal secara berkesan, ini boleh mengakibatkan berlakunya masalah pencemaran udara yang lebih serius di kawasan bandaraya.
Tidak hanya kepada pencemaran udara, peningkatan kenderaan akibat proses pembandaran juga menyubang langsung kepada kesesakan. Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan, pada 2002, kenderaan bermotor berdaftar di Malaysia mencapai 12 juta berbanding 11.3 juta pada tahun 2001, 10.6 juta (2000), 9.9 juta (1999), 9.1 juta (1998), 8.5 juta (1997) dan 7.7 juta (1996). Pada tahun 2000, purata kenderaan yang memasuki jalan utama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 70,000 buah sehari.
Sedar dengan masalah ini, tahun lepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, telah melancarkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (Malaysia Smart City Framework) yang bakal menjadi panduan bagi semua kerajaan tempatan dalam membangunkan bandar mereka menjadi bandar pintar (smart city).
Bandar Pintar merupakan sebuah bandar yang menggunakan teknologi terkini dan digital dalam usaha menangani masalah lazim di bandar-bandar antaranya seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran, ancaman keselamatan penduduk dan bencana alam. Selain mengoptimumkan penggunaan teknologi, Bandar Pintar Malaysia juga tidak lupa untuk menekankan aspek penjagaan alam sekitar.
Menurut International Telecommunication Union , bandar pintar ditakrifkan sebagai bandar inovatif yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (information, connectivity and technology, ICT) dan kaedah lain untuk meningkatkan kualiti kehidupan, kecekapan operasi dan perkhidmatan bandar dan daya saing, di samping memastikan ia memenuhi keperluan generasi masa kini dan akan datang dari aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan budaya.
Secara mudahnya, bandar pintar ialah pembangunan semula sebuah bandar menggunakan ICT untuk menambahbaik mutu perkhidmatan di bandar seperti tenaga, ketersambungan, pengangkutan, utiliti dan lain-lain.
Bandar Pintar Malaysia merangkumi tujuh komponen utama iaitu Ekonomi Pintar, Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Masyarakat Pintar, Kerajaan Pintar, Pengangkutan Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar. Konsep tersebut dibawa ke negara ini untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar dan buat masa ini, lima lokasi menjadi projek pilot iaitu Kulim, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
Terdapat pelbagai kaedah bagaimana bandar pintar ini berfungsi bagi memenuhi tujuh kompenan utama. Misalnya di Singapura yang mengaplikasikan bandar pintar sejak 2014. Kerajaan di sana telah mengatur sistem yang mampu mengesan apabila seseorang individu merokok di kawasan yang dilarang, atau membuang sampah dari bangunan tinggi.
Dengan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV), kerajaan dapat memantau kepadatan orang ramai, kebersihan kawasan awam, dan pergerakan setiap kenderaan.
Setiap data yang diperoleh ini akan dihantar ke platform maya yang digelar Virtual Singapore untuk memberi akses kepada kerajaan tentang bagaimana bandarnya berfungsi dalam masa-nyata (real-time).
Sistem Virtual Singapore ini mampu membantu kerajaan dalam membuat jangkaan, sebagai contoh, bagaimana orang ramai bergerak jika berlaku suatu letupan yang tidak diingini dalam kompleks membeli-belah, ataupun bagaimana suatu penyakit berjangkit mampu merebak.
Di Dubai pula, 22 badan kerajaannya telah melancarkan 50 perkhidmatan pintar sebagai sebahagian daripada pelan Smart Dubai Initiative.
Dengan menggunakan aplikasi mudah alih Dubai Now, setiap individu mampu membayar saman pandu laju yang telah dikesan oleh kamera perangkap had laju dan dihantar melalui e-mel kepada pemilik kenderaan. Aplikasi yang sama juga turut boleh digunakan untuk membayar bil elektrik, memanggil teksi, mengesan status pakej yang dipos, mencari ATM berdekatan memperbaharui cukai jalan dan membuat laporan polis.
Jelas, melaksanakan projek Bandar Pintar merupakan langkah terbaik bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar yang berdepan dengan 1001 macam masalah permodenan.
PenggerakDaily