JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini mencatatkan pengurangan mendadak hari ini apabila hanya seramai 892 mangsa daripada 276 keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka setakat pukul 4 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu berkurangan daripada seramai 2,943 orang daripada 812 buah keluarga yang direkodkan pada pukul 8 pagi.
Jelasnya, pengurangan itu ekoran cuaca baik sejak dua hari lalu.
“Setakat ini masih terdapat lima daerah yang terjejas akibat banjir dengan Kota Tinggi merekodkan paling ramai mangsa iaitu 612 orang yang ditempatkan di lima buah PPS.
“Ini diikuti dengan daerah Johor Bahru iaitu seramai 118 mangsa, Segamat (76 mangsa), Kluang (74 mangsa) dan Batu Pahat (12 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu katanya, hanya terdapat satu laluan yang masih ditutup buat semua kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian akibat kejadian tanah runtuh.
“Dalam masa sama, masyarakat diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ekoran negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 ketika ini selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negeri Johor,” ujarnya.
Penggerak Daily