JOHOR BAHRU: Kejadian air banjir berwarna merah di kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, di sini Khamis lalu berpunca daripada tumpahan bekas sisa pewarna lama sebuah kilang tekstil usang yang berhampiran.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan dilakukan mendapati kilang tersebut sudah tidak beroperasi sejak tahun 2000.
Menurut kenyataan itu, pemilik kilang yang berkeluasan 8.5 hektar itu memaklumkan premis berkenaan telah wujud sekitar tahun 1940an.
“JAS menerima aduan mengenai kejadian air banjir yang berwarna merah di kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, Johor Bahru pada 30 September 2021.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tumpahan dari bekas sisa pewarna lama yang ditinggalkan di dalam kawasan kilang.
“Tumpahan ini dipercayai disebabkan hujan lebat dan struktur kilang yang tidak berbumbung selain bekas (beg) penyimpanan pigmen warna yang sudah reput,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, JAS memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan arahan lapangan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) kepada pemilik kilang supaya kerja pembersihan dan pelupusan segera dilakukan.
“Pihak kilang telah menjalankan kerja pembersihan dan pemindahan sisa-sisa tumpahan dan bangunan tersebut telah ditutup dengan kanvas pada hari sama,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam kejadian banjir kilat pada 30 September itu, seorang penduduk kampung berkenaan, Maya Ali memuat naik beberapa keping gambar di laman Facebook memaparkan pekarangan rumahnya dipenuhi air berwarna merah.
“Banjir Merah. Memang betul-betul kejadian, bukan mainan (main-main). Hujan lebat dari awal pagi tadi menyebabkan rumah kami dan penduduk sekampung mengalami banjir kilat.
“Tak tahu dari mana punca air merah ini. Mohon pihak berwajib dapat membuat siasatan,” tulisnya sehingga mendapatkan pelbagai reaksi daripadanya masyarakat.
Penggerak Daily