JOHOR BAHRU: Seramai 65 mangsa banjir masih ditempatkan di dua buah PPS yang masih dibuka di negeri ini setakat pukul 9 pagi, hari ini.
Jumlah mangsa itu telah kekal sejak beberapa hari ini ekoran insiden banjir termenung, yang menyebabkan air banjir lambat surut di kawasan-kawasan tertentu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, kesemua mangsa itu terdiri daripada 19 keluarga di daerah Segamat.
“Dua PPS yang masih beroperasi adalah PPS Balairaya Kampung Batu Badak dan PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek.
“Banjir yang melanda Johor sejak awal bulan Januari ini bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Azmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memberitahu, Jabatan Meteorologi tidak mengeluarkan amaran ribut petir.
“Bagaimanapun, amaran hujan berterusan tahap waspada telah dikeluarkan melibatkan daerah Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Sementara itu, paras air di Empangan Labong, Mersing masih melepasi paras air bahaya walaupun keadaan cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azmi turut memaklumkan dua laluan masih ditutup untuk kenderaan sepenuhnya iaitu dua laluan di Lingkaran Kahang Barat di Kluang akibat kejadian cerun runtuh.
Penggerak Daily