Oleh: Editorial Penggerak Daily
“Dengan RM300 sebulan atau RM10 sehari, kita akan dapat membantu siswazah yang memerlukan kerana ada di antara mereka yang memang dari golongan berpendapatan rendah dan wajar dibantu agar memenuhi potensi akademik mereka, seterusnya melakar kehidupan yang lebih baik untuk keluarga, In Shaa Allah,” titah DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Baginda bertitah ketika berkenan menerima mengadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad hari ini yang membincangkan isu pendidikan tinggi termasuk mengenai Tabung “Because We Care” Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Tabung ini bertujuan membantu mahasiswa tempatan yang memerlukan dari segi makanan dan keperluan kendiri asas sepanjang pengajian mereka.
“Dr Noraini sangat berminat untuk mengetahui lanjut tentang program itu yang kita laksanakan, dan akan meneroka kemungkinan untuk ia turut dilaksanakan di universiti-universiti lain”, tambah baginda lagi.
Dalam pertemuannya di Istana Bukit Serene itu, isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar juga menjadi salah satu perkara yang diutarakan dalam perbincangan itu.
“Saya juga telah meminta pihak Kementerian untuk menggandakan usaha memerangi penyalahgunaan dadah di kalangan siswazah serta murid sekolah rendah seperti yang dilaporkan kepada saya oleh salah satu pejabat pegawai daerah di Johor.
“Perkara ini mesti diberi perhatian yang serius kerana jika tidak dibendung, ia akan memberi kesan buruk kepada masyarakat dan masa depan negara,” titah Baginda.
PenggerakDaily