JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak pengakuan bersalah seorang bapa, Roslan Abas, 56, yang didakwa mengabaikan anaknya dengan membiarkannya tidur di kaki lima rumah selama dua malam, minggu lalu.
Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim membuat keputusan itu selepas berpendapat pengakuan bersalah itu dibuat dengan bersyarat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Roslan sebagai orang yang mempunyai penjagaan terhadap remaja berusia 14 tahun itu didakwa telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan membiarkan tidur di kaki lima rumah mereka di Pasir Gudang antara 7 Julai hingga 9 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika dibenarkan mahkamah untuk memberi penjelasan selepas fakta kes dibacakan, Roslan yang merupakan seorang pengutip barangan lusuh berkata anak lelakinya itu seorang yang tidak mendengar kata.
“Dia (mangsa) suka macam itu, tidak boleh dipukul, saya cakap tidak mahu dengar. Setiap malam saya tidur lewat, tetapi saya selalu intai ke luar, dia tiada di depan rumah.
“Saya ada bagi kunci, tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapa, saya faham, saya mengaku salah sahajalah,” katanya.
Che Wan Zaidi kemudian memberi peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan selepas menolak pengakuan bersalah tertuduh.
“Pengakuan bersalah perlu dibuat tanpa syarat dan tertuduh perlu akui fakta kes. Jika begini, kes akan dibicarakan dan mahkamah beri peluang pada kamu untuk buktikan kamu tidak bersalah,” jelasnya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 29 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikannya peguam.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Penggerak Daily