JOHOR BAHRU: Bapa kepada dua beradik yang maut dalam satu kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini semalam luah mahu bawa isterinya berpindah ke rumah lain dalam masa terdekat.
Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, memberitahu, dia berpindah di kediaman berkenaan empat bulan lalu kerana mendapat pekerjaan di kawasan berhampiran.
Namun katanya, dia tidak menyangka tragedi sedemikian boleh menimpa keluarganya apatah lagi di suatu kawasan baharu yang tidak berapa dikenalinya.
“Sebelum kejadian ini berlaku, saya memang mempunyai hasrat untuk berpindah ke tempat lain tetapi tidak sempat. Dahulu buat keputusan tinggal di sini kerana mendapat pekerjaan di kawasan berhampiran.
“Ini pertama kali saya berpindah selepas berkahwin dengan isteri, Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, hampir lima tahun lalu. Pertama kali pindah sejarah buruk berlaku, saya tak nak duduk sini lagi, terlalu banyak kenangan.
“Benda pun dah berlaku, kita tidak boleh hendak jangka. Saya juga tidak boleh berbuat apa-apa lagi, dan saya tidak boleh salahkan sesiapa, sudah ajal mereka macam ini, saya kena terima,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.
Tambah Muhammad Fikri, dia dimaklumkan berhubung kejadian tersebut oleh ibu saudaranya yang turut menetap di kawasan berhampiran.
“Semasa kejadian saya sudah keluar bekerja, saya hanya dimaklumkan oleh ibu saudara kerana telefon bimbit isteri juga sudah terbakar kerana berada dalam rumah yang sama.
“Anak-anak ketika itu baharu lepas mandi dan makan, kemudian isteri keluar untuk membuang sampah dan tidak sampai 15 minit pun, perkara ini berlaku, benda kita tak boleh jangka.
“Terakhir saya bersama mereka adalah malam kelmarin apabila mereka menangis mahu minum susu sebelum tidur, itu kali terakhir kerana memang saya akan buatkan susu mereka setiap malam, untuk dua-duanya,” katanya sambil memaklumkan jenazah kedua-dua anaknya itu akan dikebumikan di Taman Istimewa, dekat sini.
Muhammad Fikri yang bekerja sendiri itu turut memberitahu isterinya masih bersedih dan terkejut dengan kejadian tersebut dan enggan untuk bertemu dengan sesiapa.
“Isteri belum hendak bercakap sangat, anak-anak memang paling rapat dengan mak dia, tidak pernah berenggang lagi sebelum ini, tetapi selepas kejadian itu terus hilang, sudah tiada.
“Saya nak cakap banyak pun tidak boleh sebab akan rasa sebak, luaran mungkin nampak ‘ok’ tetapi dalam masih teringat lagi,” tambahnya lanjut.
Semalam, Muhammad Zafran, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2, ditemukan rentung dalam satu kebakaran di kediaman sewa keluarga berkenaan pukul 1.41 petang.
Penggerak Daily