JOHOR BAHRU: Bapa kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini bulan lalu mahu membela dirinya sendiri tanpa khidmat peguam semasa perbicaraan diri dan ahli keluarganya.
Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, berkata demikian selepas pertuduhan pertama daripada empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini.
“Saya mahu bela diri sendiri,” katanya selepas dibacakan pertuduhan pertama melibatkan kesalahan menanamkan ideologi keganasan berkaitan Islamic State (IS) terhadap ahli keluarganya.
Tertuduh, Radin Imran juga beberapa kali kelihatan keliru selepas pertuduhan dibacakan kerana beranggapan perlu membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dibacakan.
“Saya tidak faham pertuduhan sebab sejak tempoh 2014, saya sudah ajak keluarga mengasingkan diri (daripada masyarakat),” katanya.
Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim kemudian menjelaskan bahawa prosiding hari ini hanyalah pembacanya pertuduhan terhadap semua kelima-lima tertuduh.
“Hari ini hanya baca pertuduhan sahaja, dan kes akan dibicarakan pada tarikh lain,” ujarnya bagi memahamkan tertuduh.
Radin Imran sekali lagi memaklumkan dirinya keliru apabila pertuduhan kedua selesai dibacakan iaitu perbuatan menyokong kegiatan pengganas dengan menyimpan empat senapang angin buatan sendiri
“Saya tidak faham. Saya tak pernah ada senjata api,” katanya.
Che Wan Zaidi kemudian sekali lagi menjelaskan bahawa prosiding hari ini hanyalah membabitkan sebutan pertuduhan sahaja tanpa sebarang pengakuan bersalah.
Radin Imran kemudian kelihatan memahami prosedur mahkamah dengan mengangguk tanda faham terhadap dua lagi pertuduhan iaitu telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.
Ahli keluarganya yang lain iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34; Rosna Jantan, 59; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah Radin Imran, 19, kemudian semua mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.
Terdahulu, Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini dikawal ketat sekumpulan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal pukul 8 pagi.
Cuaca hujan lebat mengiringi ketibaan kesemua tertuduh yang menaiki kenderaan secara berasingan itu.
Penggerak Daily