JOHOR BAHRU: Malaysia perlu membatalkan penjualan sebahagian equiti syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) antara Khazanah Nasional dengan Global Infrastructure Partners (GIP).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, jika penjualan itu diteruskan, ia adalah satu langkah kebelakang oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pemilihan GIP juga menimbulkan persoalan kerana syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan BlackRock.
“BlackRock mempunyai hubungan rapat dengan Israel selain memiliki pegangan dalam syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera Israel, perkembangan itu amat membimbangkan sekali gus menimbulkan tanda tanya.
“Bagaimana saya hendak menjawab kepada rakyat sekiranya dalam bulan Julai atau September ini pengambilan BlackRock ke atas GIP selesai.
“Apa makna rakyat Malaysia bersungguh-sungguh menyokong perjuangan Palestin di Gaza dan Tebing Barat tetapi kerajaan membenarkan syarikat MAHB yang 30 peratus sahamnya jatuh ke tangan GIP dan BlackRock yang pro Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat gelanggang futsal yang rosak bersama wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Kampung Orang Asli Kuala Masai, di sini hari ini.
Dua minggu lalu, Gateway Development Alliance (GDA), sebuah konsortium yang terdiri daripada Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) mengumumkan tawaran untuk mengambil alih saham dalam MAHB yang belum dimiliki Khazanah dan KWSP.
GIP dan Adia akan menyertai konsortium itu di bawah usaha sama, GIP Aurea. Sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan, Khazanah dan KWSP akan menguasai 70 peratus MAHB, manakala GIP Aurea pula akan memegang baki 30 peratus.
Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut mempersoalkan keputusan kerajaan untuk membenarkan penswastaan syarikat MAHB milik kerajaan Malaysia sehingga 30 peratus.
“Adakah pelaburan negara seperti ini bersifat progresif atau regresif, saham MAHB secara kepentingan nasional, kepentingan strategik dan kepentingan keselamatan tidak boleh jatuh ke tangan entiti asing yang jelas mencurigakan,” katanya lanjut.
Penggerak Daily