KULAI: Chenta Ameena Nadrah Azizul Azuwan merupakan rakyat Johor termuda yang turut bersama-sama hadir di pekarangan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini.
Ibunya, Farrahdiana Kamarudin, 38, memberitahu, itu merupakan pengalaman pertama dia membawa anaknya yang baharu berusia 2 bulan itu keluar selepas tamat tempoh berpantang, baru-baru ini.
“Saya mahu jadikan detik bersejarah ini pengalaman manis dalam hidup anak saya. Ini kerana istiadat istimewa ini merupakan kali kedua berlaku di Johor selepas kali pertama pada tahun 1984 lalu.
“Saya akan tunjukkan gambar dan ceritakan detik ini apabila anak saya sudah besar nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi checkpoint terakhir konvoi baginda sebelum berlepas menuju ke Kuala Lumpur.
Chenta Ameena Nadrah merupakan antara ribuan orang ramai yang hadir bagi menyambut konvoi baginda.
Mereka yang mula berkumpul seawal pukul 6 pagi itu turut bersorak dan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ selain mengibarkan bendera Johor ketika konvoi baginda melalui kawasan tersebut.
Penggerak Daily