JOHOR BAHRU: Hujan renyai-renyai tidak menghalang masyarakat bandar raya ini mengunjungi Bazar Ramadan berhampiran kediaman mereka untuk mendapatkan juadah berbuka puasa sempena hari pertama Ramadan, hari ini.
Tinjauan yang dilakukan di Bazar Ramadan Taman Suria di sini mendapati bazar berkenaan mula dikunjungi orang ramai seawal pukul 3.30 petang.
Rata-rata pengunjung yang ditemui menzahirkan kesyukuran mereka kerana tindakan kerajaan melalui peralihan bagi memasuki fasa endemik memberi pelbagai kesan positif.
Sulaiman Hassan, 44, memberitahu, dia teruja untuk kembali mengunjungi Bazar Ramadan di negeri ini setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Singapura.
Katanya, walaupun nama menu jualan di Johor dan Singapura berkemungkinan sama, tetapi daripada segi rasanya amat berbeza.
“Ada beberapa juadah yang memang saya sudah teringin hendak makan tetapi sukar untuk ditemui yang bersesuaian dengan citarasa saya ketika di Singapura, jadi saya memang teruja untuk berkunjung ke Bazar Ramadan ini.
“Kelonggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diberikan kerajaan juga dilihat telah membantu merancakkan semula operasi Bazar Ramadan, ini berbeza berbanding tahun lalu,” katanya yang baharu pulang ke Malaysia, semalam.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Norlelawati Hamzah, 47, pula memberitahu, pihaknya tetap berharap pengunjung Bazar Ramadan agar dapat terus mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum ini, demi kebaikan bersama.
“Saya tahu kerajaan telah beri kelonggaran, tetapi apa salahnya sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita terus mematuhi SOP seperti dulu, ia bukanlah terlalu sukar.
“Dalam kita mematuhi SOP itu, kita masih boleh menikmati kebebasan baharu yang dirasakan ketika ini, termasuklah dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya yang merupakan seorang suri rumah.
Dalam pada itu, seorang peniaga air, Azhar Othman, 39, pula meluahkan kesyukurannya kerana penganjuran Bazar Ramadan tahun ini telah kembali meriah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.
“Seperti yang kita tahu, pandemik Covid-19 turut menjejaskan peniaga bazar Ramadan sejak dua tahun lalu, tetapi Alhamdulillah tahun ini ia boleh kembali diadakan dengan meriah.
“Saya berharap situasi ini terus kekal Sepanjang Ramadan kerana ini adalah waktu untuk saya sekeluarga mencari rezeki lebih dalam menampung kehidupan,” ujarnya yang sudah berniaga Bazar Ramadan sejak enam tahun lalu.
Penggerak Daily