JOHOR BAHRU: Beberapa jalan raya utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula hari ini sehingga Sabtu depan sempena Perarakan Chingay 2024.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, penutupan jalan itu akan dibuat secara berperingkat.
“Penutupan jalan hari ini (Rabu) bertujuan untuk upacara ‘mencuci jalan’, manakala esok (Khamis) bagi upacara ‘membawa tokong keluar’ sebelum acara kemuncak pada hari Jumaat.
“Pada hari kemuncak, penutupan beberapa jalan akan dibuat bermula pukul 6.30 petang hingga 3 pagi, melibatkan jalan seperti Jalan Ngee Heng, Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Dato’ Onn dan Jalan Wong Ah Fook,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, penutupan beberapa jalan pada hari Sabtu pula adalah bagi melaksanakan upacara ‘membawa balik tokong’.
“Sehubungan itu, beberapa laluan alternatif telah disediakan kepada pengguna jalan raya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Dalam masa sama, polis turut menasihati orang ramai termasuk peserta sambutan Chingay agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Raub turut meminta pengguna jalan raya untuk mengatur perjalanan mereka atau mengelakkan melalui kawasan pusat bandar agar tidak terperangkap dengan kesesakan jalan.
Penggerak Daily