JOHOR BAHRU: Bekalan darah jenis O dan B di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) di sini berada di bawah paras selamat dan dibimbangi akan menurun melepasi paras kritikal tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Pakar Perubatan Transfusi HSAJB, Dr. Nuraini Sham menyeru orang ramai khususnya yang mempunyai kumpulan darah berkenaan untuk tampil membuat sumbangan.
Katanya, stok bekalan darah kumpulan berkenaan telah berkurangan sejak awal Ramadan lalu.
“Antara faktor utama pengurangan bekalan darah tersebut adalah disebabkan kurangnya penderma darah yang hadir terutamanya dalam kalangan umat Islam.
“Tahun ini kita dapat lihat kurangnya kutipan darah, dan terkini untuk stok bekalan darah jenis O dan B berada di bawah paras selamat.
“Jika fenomena ini dibiar berterusan kemungkinan ia akan mengakibatkan stok darah turun ke paras kritikal. Ini membimbangkan kerana tidak dinafikan kadar kemalangan meningkat apabila terdapat sambutan perayaan sekaligus permintaan pemindahan darah turut meningkat,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambahnya, mengikut rekod hospital berkenaan menerima kira-kira 2,800 beg darah setiap bulan namun jumlah itu berkurangan mendadak setiap kali Ramadan sehingga hanya kira-kira 1,000 beg diterima.
“Bagi Ramadan tahun lalu, hospital ini telah menggunakan sebanyak 2,700 beg darah sepanjang bulan dengan mengalami kekurangan kutipan beg darah sehingga 40 peratus pada masa sama.
“Justeru itu orang ramai termasuk penderma baharu dipelawa untuk hadir menderma darah di Pusat Pendermaan Darah HSAJB di Jalan Mahmoodiah yang beroperasi seawal pukul 8 pagi,” ujarnya.
Sementara itu katanya, penderma yang berpuasa pula boleh berbuat demikian selepas waktu berbuka di Johor Bahru Blood Donation Suite (JBBDS), pusat beli belah MidValley Southkey bermula pukul 10 pagi hingga 8.30 malam.
Penggerak Daily