JOHOR BAHRU: Persatuan Pencinta Kucing Phatcathaus Johor Bahru menyeru masyarakat agar memaklumkan sekiranya mereka mempunyai masalah mendapatkan bekalan makanan bagi haiwan peliharaan mereka.
Pengerusinya, Haildani Daud berkata, pihaknya menggerakkan kempen tersebut kerana bimbang semakin banyak haiwan peliharaan dibuang pemilik mereka dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.
Sehubungan itu pihaknya menggerakkan usaha yang bertujuan untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan, bukan sahaja di negeri ini malahan di negeri luar.
“Kami ada menjalankan kajian dan mendapati dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, semakin banyak haiwan peliharaan dibuang oleh pemilik mereka.
“Antara sebab utama perkara itu berlaku adalah kerana pemilik mereka berdepan masalah kewangan untuk membelikan makanan buat haiwan peliharaan mereka.
“Jadi kami menggerakkan kempen ini dalam usaha memastikan bukan sahaja manusia mendapat pembelaan, tetapi juga haiwan-haiwan peliharaan mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah beliau, masalah pembuangan haiwan peliharaan semakin ketara kerana pihaknya turut mendapati haiwan seperti kucing yang mempunyai baka juga kini terbiar di jalanan.
“Ketika ini kami sedang mendapatkan maklum balas daripada masyarakat yang memerlukan bantuan berkenaan sebelum bekalan makanan bersesuaian dapat diagih seawal-awalnya pada minggu depan.
“Untuk permulaan kempen ini kami menyasarkan untuk mengagihkan sehingga 1.5 tan bekalan makanan haiwan peliharaan dan penghantaran akan dibuat melalui pos.
“Kami akan berusaha memenuhi permintaan yang datang tanpa mengambil kira latar belakang mereka, termasuklah sama ada mereka menetap di negeri Johor atau negeri-negeri lain,” ujarnya.
Sehubungan itu Haildani berkata, mana-mana pihak yang memerlukan bantuan berkenaan boleh menghubungkan menerusi akaun Facebook dan Instagram ‘phatcathaus’ atau melalui talian 019-7792358.
Penggerak Daily