JOHOR BAHRU: Bekalan minyak masak di negeri ini dijamin mencukupi sepanjang tempoh Ramadan dan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri, tidak lama lagi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan tiga syarikat penapisan serta beberapa pasar raya besar bagi tujuan tersebut.
Katanya, isu timbul apabila berlaku peningkatan harga minyak sawit mentah dunia serta penetapan harga syiling kerajaan yang menyebabkan syarikat terlibat tidak dapat menampung kos operasi.
“Sehubungan itu, kerajaan mempertimbang pemberian insentif khas bagi membantu syarikat meningkatkan pengeluaran dan bekalan minyak masak dalam pasaran.
“Melalui beberapa langkah intervensi yang diambil, KPDN Johor yakin bekalan minyak masak di negeri ini akan mencukupi menjelang Aidilfitri sehingga selepas musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Program Bazar Ramadan Rahmah dan Program MySaveFood 2025 yang diadakan di Bazar Ramadan Taman Dahlia, di sini semalam.
Sementara itu, Lilis Saslinda turut menggesa orang ramai membuat aduan segera kepada KPDN Johor sekiranya terdapat masalah bekalan minyak masak di kawasan mereka.
“Sekiranya pengguna mengesan terdapat masalah bekalan minyak masak, segera bertindak dan adukan terus kepada kami dan tindakan penguatkuasaan akan diambil,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penjualan makanan melebihi harga munasabah melibatkan bazar Ramadan di negeri ini.
“Selain aduan awam, penguatkuasa KPDN Johor turut menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan harga jualan makanan di setiap kawasan kekal munasabah,” jelasnya.
Penggerak Daily