Oleh: Ahmad Roi
Baru-baru ini gempar cerita hantu ketuk pintu, kacau penduduk Sabak Bernam ber-PKPB. Kalau sudah nama pun hantu, tujuan ketuk pintu bukan mahu masuk. Makhluk ini hanya nak kacau. Memang disumpah untuk kacau anak cucu Adam.
Kalau difikirkan, apa salahnya hantu ketuk pintu, bukannya dia pecah masuk rumah orang ikut tingkap. Tapi, kena ingat, walaupun tindakannya nampak sopan-sopan, niatnya hanya untuk kacau. Tindakan dan niatnya tidak selari, macam telunjuk demi rakyat, kelingking kait kuasa.
Hantu bukan budak nakal yang kita boleh cubit, makhluk ini tidak terlihat dengan mata kasar – dia buat kerja belakang-belakang. Sebab itu orang-orang saintifik tak percaya hantu, selagi tak dapat tengok dengan mata kepalanya sendiri.
Walaupun hantu tak terlihat, tapi dia ada, seperti desas-desus. Desas-desus ini sama macam cerita tentang rancangan beberapa wakil rakyat untuk menolak Belanjawan 2021 demi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kalau hantu kum-kum kacau orang dengan ketuk pintu, pakatan ini kacau belanjawan dengan saranan-saranan populis seperti membenarkan semua ahli mengeluarkan akaun 1 KWSP, melanjutkan marotarium (tanpa memikirkan implikasi jangka panjang) dan pelbagai cadangan yang sedap dimulut, pahit dibuat.
Atas nama rakyat, pakatan ini jadi hantu penghasut untuk orang mendesak segala macam tuntutan yang kita sendiri tahu takkan dilaksanakan oleh mereka sendiri walaupun jadi kerajaan selama 22 tahun.
Apa yang penting, Belanjawan 2021 perlu digagalkan. PN perlu tumbang.
Titah Agong kepada semua wakil rakyat supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan tanpa sebarang gangguan diabaikan.
Seperti hantu kum kum, walaupun dalam keadaan kritikal berhadapan dengan COVID, kacau tetap kacau – bak kata pepatah, kalau boleh kacau, buat apa kerjasama.
Tapi, tindakan sabotaj ini lebih hantu dari hantu. Dek kerana kuasa, nyawa rakyat jadi galang gantinya. Tentunya, sabotaj ini menjadikan negara lebih parah – dengan serangan COVID-19 yang mengancam keselamatan dan ekonomi, 2020 jadi malapetaka lebih besar apabila negara berperang dengan wabak, hantu-hantu politik sibuk mengetuk kuasa.
Dengan hampa, sebagai rakyat marhaein, saya ada satu soalan naif, tapi penting – kenapa kita tidak boleh sama-sama lawan COVID-19, dan gaduh semula selepas COVID-19 selesai?
PenggerakDaily
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian PenggerakDaily