JOHOR BAHRU: Belanjawan Tahun 2021 yang bernilai RM322.5 bilion, yang baharu dibentangkan di Parlimen pada hari ini, adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didokong teguh oleh Kerajaan Perikatan Nasional.
Menurut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam sebuah kenyataan media berkenaan Belanjawan 2021 hari ini, belanjawan kali ini akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN”,
“Melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion telah disediakan oleh Kerajaan terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan”,
“Kerajaan juga komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat. Daripada jumlah ini, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion”,
Menerusi belanjawan kali ini, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500 ribu peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula.
“Sehubungan itu, Kerajaan juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (National Jobs Council). Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat”,
Belanjawan 2021 ini juga mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan bahawa mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan tanpa mengira kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada.
“Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas”,
“Selain itu, Kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus yang bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya”,
Tambah Muhyiddin lagi, Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji Kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat Malaysia, serta untuk memastikan setiap rakyat terus maju dan makmur bersama.
PenggerakDaily