Dengan ekonomi berada di lndasan pemulihan, Belanjawan 2021 akan menyediakan pemangkin yang diperlukan bagi komuniti perniagaan untuk terus bergerak maju pasca COVID-19.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata belanjawan tersebut akan menarik pelaburan serta meletakkan perniagaan di landasan yang positif.
“Meskipun cabaran pandemik COVID-19, beberapa sektor seperti penjagaan kesihatan, pembuatan, teknologi dan e-dagang berada dalam aliran meningkat.
“Keupayaan untuk memacu perniagaan semasa tempoh mencabar ini akan menjadi pemacu pelaburan baharu pada masa depan,” katanya pada program “Mid-day Update” terbitan Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata pada masa depan, tumpuan utama NCIA adalah bagi mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan serta mengukuhkan dasar untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
“Menjelang 2025, ekonomi di wilayah utara dijangka mencecah RM300 bilion dan dengan pemangkin yang betul, sasaran ini boleh dicapai,” katanya.
Di bawah Belanjawan 2021, sebanyak RM780 juta diperuntukkan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di lima koridor wilayah bagi pembangunan projek ekonomi strategik.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dengan peruntukan tinggi sebanyak RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan di bawah belanjawan tersebut, ia akan mempercepat pertumbuhan industri pembinaan daripada penguncupan 18.7 peratus pada 2020 kepada pengembangan 13.9 peratus tahun depan.
“Usaha untuk menghidupkan kembali ekonomi domestik perlu disokong dan ia harus mempunyai impak menyeluruh ke atas sektor ekonomi dan wilayah lain.
Mohd Afzanizam juga berkata peningkatan kemahiran tenaga kerja merupakan usaha berterusan bagi memastikan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dapat mencari peluang baharu semasa tempoh sukar sekarang.
“Program yang akan memberi motivasi kepada mereka dari sudut rohani dan jasmani juga perlu diambil kira kerana ini akan memberi dorongan kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang yang mereka mahu ceburi,” katanya.
Sumber: BERNAMA