JOHOR BAHRU: Belanjawan 2021 jadi fokus dalam sidang Dewan Rakyat kali ini. Tambahan, pergolakan politik semasa menjadikan usul Belanjawan 2021 kali ini jadi tumpuan awam.
Berdepan dengan pandemik COVID-19 yang meranapkan banyak syarikat dan perniagaan seluruh dunia termasuk Malaysia, tentunya belanjawan kali ini lebih mencabar.
Kesempatan ini, PenggerakDaily telah menemubual beberapa orang anak muda dari pelbagai latar belakang berkenaan harapan mereka dengan belanjawan 2021 yang bakal diumumkan.
“Persiapkan platform anak muda untuk mulakan perniagaan terutamanya dalam bidang perkhidmatan dan pertanian”, kata seorang Juruteknik, Azman Toi, 25, ketika ditanya mengenai harapannya terhadap Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan Jumaat ini.
“COVID-19 yang melanda menyebabkan pengangguran meningkat”,
“Majoriti anak muda sedar jalan keluar dari kerumitan ekonomi dengan mulakan perniagaan sendiri seperti pertanian memandangkan permintaan makanan di waktu ini lebih tinggi”,
“Jadi, anak muda mengharapkan geran atau inisiatif yang lebih efisien untuk sebagai pendorong untuk mencipta lebih ramai pengusaha dalam kalangan anak muda”.
Bagi pengusaha kek dan roti, Fatimah Kamal Izam, 25, Belanjawan 2021 wajib fokus kepada pemulihan rantaian ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Kata Fatimah, “kesan wabak COVID-19 yang merosakkan rantaian ekonomi perlu diteliti agar peruntukan Belanjawan 2021 dapat diagihkan dengan tepat, sesuai dengan kehendak semasa”,
“Bagi peniaga seperti saya, tentunya mengharapkan Belanjawan kali ini memberi inisiatif sokongan agar peniaga kecil dapat mempertahankan perniagaannya”,
“Contohnya, diskaun atau penghapusan cukai perniagaan serta membangunkan sistem keselamatan yang dapat memudahkan proses jual beli dapat dijalankan dalam musim wabak tanpa terbatas dengan tempoh perniagaan yang singkat”.
Bagi Juru Ukur Bahan, Kamarul Ramzan, 31, Belanjawan 2021 perlu fokus kepada kekacauan emosi sosial masyarakat yang terkesan dengan pandemik.
“Masalah ekonomi yang kita hadapi secara global ini bukan saja membawa kerugian ekonomi, malahan memberi kesan besar kepada mental masyarakat, mental masyarakat ‘koyak’”
“Saya berharap peruntukan Belanjawan kali ini mengambil kira ‘tension’ masyarakat dengan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mengenai kesihatan mental dan program kerohanian”,
“Pengangguran, muflis, dan penularan wabak yang berlaku menyebabkan peratusan mereka yang ‘depresion’ semakin meningkat, tentulah ini perkembangan tidak sihat bagi masyarakat”.
Kamarul berharap kerajaan Perikatan Nasional tidak lepas pandangan dengan masalah mental masyarakat akibat keadaan sosial ekonomi sekarang.
“Selain ekonomi dan kesihatan fizikal, mental juga perlu sokongan”.
PenggerakDaily