JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada usaha memperkembangkan industri ‘e-sport’ dan sub-sektor sukan berkenaan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, industri itu mempunyai potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu menjana pendapatan kepada pemainnya.
Katanya, sejak tahun 2019, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM45 juta bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri berkenaan.
“Selain usaha meningkatkan lagi pendedahan sektor ‘e-sport’ dalam kalangan masyarakat umum, kerajaan juga berhasrat untuk meneroka pelbagai sub-sektor di dalam industri itu sendiri.
“Kerana setiap sub-sektor berkenaan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan kepada baharu kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Akademi Soloz, di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan komited untuk memastikan sokongan berterusan kepada industri ‘e-sport’ negara menerusi Belanjawan 2022 yang akan diumumkan pada 29 Oktober nanti.
Sementara itu, seorang pemain ‘e-sport’ negara, Muhammad Mukhriz Lutfi Fariq Adlan, 22, memberitahu, pihaknya berharap kerajaan akan dapat mempertingkatkan kemudahan industri ‘e-sport’ negara dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu.
“Selain daripada bantuan kewangan dalam bentuk penajaan dan pemasaran bagi membolehkan industri ini lebih berkembang baju pada masa depan, kami juga berharap akan ada satu akademi yang dibangun kerajaan sendiri dalam usaha mencari lebih ramai pelapis.
“Ini kerana majoriti pemain sukan ‘e-sport’ negara tidak mempunyai platform untuk mereka mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi, sedang mereka mempunyai potensi besar dalam industri ini,” jelasnya yang menggunakan nama samaran ‘IronPro’.
Pendapat sama dikongsikan Pengurus Produksi Homebois, Mohamad Nor Mohd. Mochtar, 40, yang berharap kerajaan akan dapat menyediakan lebih banyak fasiliti khususnya bagi pembangunan industri itu di peringkat akar umbi.
“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sudah dikenalpasti mempunyai bakat-bakat pelapis dalam industri ini.
“Jadi kita berharap perkara itu akan dapat perhatian kerajaan khususnya dalam pembentangan Belanjawan 2022 akan datang,” jelasnya yang sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.
Penggerak Daily