JOHOR BAHRU: Golongan belia daripada pelbagai latar belakang pelbagai di negara ini mahu perpaduan menjadi asas pergaulan masyarakat bagi membolehkan kemakmuran Malaysia dinikmati semua pihak secara sama rata.
Pendapat itu disuarakan golongan belia yang ditemui di program Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024 di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.
Seorang belia Borneo dari suku Iban, Jislina Jenai Kerby, 18, berkata, masyarakat berlainan kaum di negara ini perlu mengangkat identiti Malaysia terlebih dahulu sebelum keturunan masing-masing.
“Hari ini kita masih dapat lihat segelintir masyarakat yang kurang bergaul dengan individu berlainan kaum. Sebagai contoh masyarakat Semenanjung dengan kelompok mereka, begitu juga dengan masyarakat Borneo.
“Tetapi lebih indah sekiranya masyarakat kita dapat mengetepikan perbezaan kaum dan keturunan masing-masing dengan duduk bersama-sama sebagai bangsa Malaysia yang merdeka,” kata gadis berasal dari Sri Aman, Sarawak itu.
Berkongsi pendapat sama, pemuda Orang Asli dari suku Mah Meri, Shahrizan Shahadan, 18, yang memberitahu, perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum adalah penting bagi memastikan kehidupan rakyat kekal harmoni.
“Banyak langkah boleh diambil untuk menyatupadukan rakyat di negara ini. Antaranya termasuklah program seperti ini (SMP) yang mengetengahkan perbezaan budaya, adat dan cara hidup supaya semua faham, hormat dan menerima kelainan itu,” kata Shahrizan yang berasal dari Pulau Carey, Selangor.
Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Nazathul Nadeea Amyza Mohd Shuhaimi, 21, pula berharap dapat melihat Malaysia yang lebih progresif dengan rakyat berbilang kaum bersatu padu dalam pelbagai aspek kehidupan harian.
“Setiap kaum ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, namun jika kita bersatu padu, kita dapat tonjol kelebihan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Itulah keunikan Malaysia berbanding dengan negara lain,” katanya.
Sementara itu, Duta Perpaduan Johor Lim San Shien, 24, pula menegaskan, kestabilan dan kemakmuran negara berkait secara langsung dengan keharmonian hidup masyarakat di negara itu.
“Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum sangat memerlukan perpaduan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Rakyat yang hidup dengan aman, akan dapat menyumbang idea dan tenaga untuk kemajuan dan kemakmuran negara. Ini penting untuk Malaysia terus mara ke depan khususnya di peringkat global,” katanya yang juga moderator Wacana Kelestarian Keselamatan, Perpaduan dan Kehormonian Negara sempena SMP Peringkat Kebangsaan 2024.
Program itu yang sedang berlangsung di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall menyasarkan kehadiran seramai lebih 200,000 pengunjung sepanjang tempoh empat hari program bermula Khamis lalu.
Penggerak Daily