JOHOR BAHRU: Bella, atau nama sebenarnya Mira Sharmila Samsusah, 32, pernah meluahkan hasrat untuk memutuskan hubungan cinta dengan teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24.
Kakak bella, Norisham, 36, turut memberitahu, Bella turut memaklumkan mahu berpindah ke Johor Bahru untuk menetap bersamanya pada musim cuti persekolahan akan datang.
Bagaimanapun katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila takdir menetapkan Bella ditemukan maut selepas rangka mayat yang ditemui di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat pada 19 Januari lalu disahkan miliknya.
“Bella ada beritahu hendak tinggalkan lelaki itu, dia nak pindah duduk Johor Bahru bersama dengan saya tetapi tak kesampaian, dia berkawan dengan lelaki itu sejak tujuh bulan lalu.
“Anak sulung Bella sendiri selalu tanya saya di mana mummy (Bella), uncle (suspek) dulu selalu marah-marah mummy. Anak Bella tanya kenapa mummy keluar televisyen, dia tanya saya dah beritahu polis belum uncle selalu pukul-pukul mummy,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), fi di sini hari ini.
Norisham hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat mereka bagi menuntut rangka mayat milik Bella yang selesai menjalani menjalani proses post mortem untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Batu Pahat.
Turut hadir memberikan sokongan kepada keluarga, pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali dengan nama Ebit Lew.
Tambah Norisham, dia akan menjaga kedua-dua anak arwah Bella yang kini berusia 5 dan 2 tahun.
“Kalau ikutkan pengakhiran seperti ini sangat mengecewakan, kerana pada hari kedua kehilangannya saya dah jangka lelaki (suspek) tahu sesuatu, cara dia bercakap pun sudah tahu penipuan dia, tetapi akhirnya ini yang kami dapat. Walaupun begitu Alhamdulillah, dapat juga (pengakhiran).
“Saya juga hendak berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini, tanpa anda semua mungkin tidak sampai ke tahap ini,” ujarnya lanjut.
Terdahulu di Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi, Mohammad Haikal telah didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Bella.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa punca kematian Bella adalah disebabkan keretakan di bahagian tempurung kepala kesan hentakan objek tumpul.
Beliau turut memberitahu, cemburu dipercayai merupakan motif utama kejadian.
Penggerak Daily