KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menimbangkan keperluan untuk meneruskan perniagaan dan kelangsungan hidup sebilangan besar pengusaha kecil seperti pemilik kedai gunting rambut, penjagaan diri, kedai jahitan dan perkhidmatan mencuci kereta.
Pengasas Pemuda Negara, Dr Afif Bahardin menjelaskan, sektor-sektor itu yang banyak melibatkan pengusaha dalam kalangan warga tempatan adalah satu sektor yang ‘vulnerable’ atau terdedah kepada risiko gulung tikar apabila mereka tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kerajaan tidak boleh lagi hanya membuat andaian semata-mata bahawa mereka ini adalah punca merebaknya jangkitan COVID-19.
“Sewajarnya sektor yang hampir keseluruhannya didominasi oleh golongan orang muda ini dipertimbangkan segera oleh Kerajaan untuk dibenarkan beroperasi semula dengan menggariskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya perlu.
“Langkah sebelum ini yang menutup terus operasi perniagaan golongan ini bukan sahaja mengakibatkan mereka kerugian, tetapi masa sama akan mewujudkan masalah aliran tunai dan seterusnya menjerumus golongan ini kepada bebanan hutang dan risiko bankrap,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, operasi kedai gunting rambut dan salon, tetap tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP 2.0.
Jelasnya, kedua-dua perkhidmatan itu, melibatkan sentuhan secara fizikal dan berisiko menyebabkan jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun ujar Ismail, pertimbangan untuk membenarkan perkhidmatan itu beroperasi akan dibuat, sekiranya trend kes COVID-19 mencatat penurunan.
Dalam pada itu Dr Afif yang juga ADUN Seberang Jaya berpendirian, sektor itu perlu dijadikan sebagai penanda aras atau contoh kepada sektor perniagaan yang lain dalam memastikan operasi mereka benar-benar mengikut SOP.
“Sekiranya mereka berjaya, kami percaya sektor lain tidak punya alasan untuk tidak patuhi SOP sekali gus mendokong usaha kerajaan hari ini dalam mendepani pandemik COVID-19.
“Kami yakin bahawa para pengusaha sektor perusahaan ini akan memberikan komitmen dan disiplin yang tinggi kepada SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam menjalankan kegiatan ekonomi mereka.
“Kami menggesa sekali lagi agar kerajaan terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mempertimbangkan untuk menyegerakan pembukaan semula operasi perusahaan gunting rambut, jahitan dan cucian kereta ini bagi memastikan sumber pendapatan mereka dan nasib para pekerja sektor ini terus dibela dan dijamin,” tegasnya lagi.
Sumber : Astro Awani