JOHOR BAHRU: Demam politik khususnya di kawasan Parlimen Pulai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) dibimbangi akan menenggelamkan bahang sambutan Bulan Kemerdekaan, tahun ini.
Penduduk mendakwa perkara itu dapat dilihat apabila kawasan umum termasuk sekitar jalan raya dan taman-taman lebih dipenuhi dengan bendera dan poster parti politik berbanding Jalur Gemilang.
Salah seorang penduduk, Mohd. Zaki Mahat, 43, berkata, dia bimbang perkara itu akan memberi mesej yang salah kepada penduduk kawasan berkenaan, khususnya golongan muda seperti kanak-kanak.
“Saya rasa ini mungkin kali pertama pilihan raya diadakan dalam tempoh sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia, dan hasilnya amat mengecewakan kerana bendera politik lebih banyak berbanding bendera Malaysia.
“Mana-mana saya pergi di kawasan Parlimen Pulai ini dapat dilihat bendera politik dipasang di kawasan umum yang strategik, sehingga menutup sambutan Kemerdekaan.
“Saya cuma berharap PRK ini tidak menyebabkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum pudar disebabkan berlainan fahaman politik,” katanya yang merupakan seorang peniaga.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kawasan Parlimen Pulai, Daphne Tan, 38, pula memberitahu, dia memang mengikuti perkembangan politik namun enggan terlalu ‘bersemangat’ kerana negara berada dalam Bulan Kemerdekaan.
“Saya ada ramai kawan-kawan dalam kalangan Cina, Melayu dan India. Saya tahu ada antara mereka mempunyai pilihan parti politik tersendiri dan berlainan dengan parti politik yang saya pilih, namun saya enggan terlalu beremosi apabila bercakap soal politik sempena PRK Parlimen Pulai ini.
“Kerana saya bimbang akan mengguris perasaan rakan-rakan yang tidak sependapat tentang politik negara, apatah lagi dalam bulan kemerdekaan seperti ini, saya memilih untuk bersederhana dalam berpolitik bagi menjaga hati rakan-rakan,” katanya yang merupakan ibu kepada dua orang anak.
Terdahulu, tinjauan dilakukan Utusan Malaysia / Kosmo di beberapa kawasan sekitar Parlimen Pulai mendapai bendera parti politik lebih mendominasi pemandangan berbanding bendera Malaysia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian awal pada 5 September, manakala hari pengundian pula pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai menyaksikan seramai 167,108 individu layak mengundi dengan pecahan seramai 74,814 pengundi Melayu iaitu 44.17 peratus; Cina seramai 67,635 pengundi (40.48 peratus); India seramai 20,555 pengundi (12.30 peratus) serta lain-lain kaum seramai 5,104 (3.05 peratus).
Penggerak Daily