Pemimpin politik harus berhenti sebentar daripada memikirkan pertukaran pucuk pimpinan kerajaan dan bersepakat membantu menangani pandemik maut yang berlaku dalam negara sekarang.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hanya boleh dilaksanakan setelah situasi penularan Covid-19 tidak lagi meningkat.
“Tak payahlah fikir pengganti buat masa ni.. kita muafakat, bantu kerajaan. Bila Covid-19 reda, segera bubar Parlimen dan serah pada rakyat.
“USA (Amerika Syarikat) lagi banyak kes Covid-19 dan mereka pun ada Pilihan Raya. Beri peluang Perdana Menteri (PM) selamatkan negara dan nyawa rakyat dulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” katanya dalam catatan di laman Twitter, hari ini
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masanya pemimpin tanpa mewakili parti mana sekalipun melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya digembleng bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit keperitan lantaran wabak Covid-19 yang kian mencengkam.
“Perlu ada ‘political will’ (iltizam politik), ‘political commitment’ (komitmen politik) dan ‘political sincererity’ (kejujuran politik) yang jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama.
“Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu-isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung!,” ujarnya
Sumber: Malaysiapost