Categories
Berita Jenayah

BERPUNCA GAMBAR TAK SENONOH, PEGAWAI KHAS ADUN DITAHAN BERI LAPORAN PALSU

Seorang pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang dan adik lelakinya ditahan polis berikutan membuat laporan palsu kononnya wang tunai RM60,000 miliknya disamun individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah stesen minyak pada 12 September lalu.

Menurut sumber, pegawai berusia 30-an itu mendakwa bahawa dia dan adik lelakinya berusia 20 tahun didatangi seorang penunggang motosikal tidak dikenali di sebuah stesen minyak dekat Permatang Rawa, di sini sebelum berlaku kejadian samun itu.

“Ketika itu dua beradik berkenaan berhenti di stesen minyak berkenaan sebelum mereka dihampiri seorang penunggang motosikal yang kemudian memecah masuk kenderaan mereka dan melarikan beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM60,000.

“Ekoran itu, pegawai terbabit membuat laporan polis namun didapati kenyataan yang diberikannya bersama adiknya bercanggah dan mengelirukan.

“Justeru, kedua-dua mereka ditahan polis semalam untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, pegawai itu dipercayai membuat laporan palsu bagi mengelak membayar wang kepada pihak yang mengugut untuk menyebarkan gambar adiknya yang berkelakuan tidak senonoh.

Difahamkan, ugutan itu dilakukan oleh seorang individu yang ingin menyebarkan gambar lucah milik adik kepada pegawai khas ADUN terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan ke atas dua beradik terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan polis palsu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *