JOHOR BAHRU: Perbezaan latar belakang khususnya kaum dan agama tidak menghalang dua anak muda daripada turut menyertai program Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini.
Pegawai Muda Leong Joe Yee, 26, berkata, dia tertarik untuk menyertai Palapes selepas bapanya memberitahu unit beruniform itu akan memberi banyak manfaat buat dirinya secara peribadi.
Katanya, walaupun bapanya sendiri tidak menyertai unit beruniform ketika bergelar penuntut universiti, namun bapanya menggalakkan dia untuk terlibat ketika bergelar mahasiswa.
“Pada mulanya saya agak bimbang juga kerana fikir bagaimana saya hendak bergaul dengan rakan-rakan kerana hanya saya seorang sahaja wanita Cina yang menyertai Palapes di universiti ini.
“Tetapi kerana sokongan bapa dan rakan-rakan Melayu, saya buat keputusan untuk sertai dan setelah berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Muda, saya berasa bangga dan gembira.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan kerana kerjasama dan persahabatan yang terhasil adalah satu perkara yang istimewa,” katanya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautik UTM.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat Universiti Awam Ke-39 di Universiti Teknologi Malaysia, di sini hari ini.
Joe Yee yang berasal dari Sungai Nibong, Pulau Pinang turut memberitahu, rakan-rakan daripada keturunan Tionghua lain yang pada awalnya mempersoal tindakannya menyertai Palapes juga menyokong setelah melihat komitmen yang ditunjukkan.
Sementara itu, S. Matya, 24, turut tidak berdepan sebarang masalah sepanjang tiga tahun menyertai Palapes dimana baginya ia adalah satu fasa yang berjaya membentuk jati dirinya.
Matya yang berasal dari Taiping, Perak itu memberitahu, dia membuat keputusan untuk menyertai Palapes kerana meminati aktiviti lasak dan juga kerja berpasukan.
“Saya tidak pernah melihat perbezaan latar belakang seperti kaum dan agama sebagai halangan untuk saya menyertai sesuatu aktiviti yang diminati.
“Ini kerana bagi saya, Palapes bukan sahaja telah membantu saya daripada sudut disiplin diri dan semangat kerjasama antara rakan-rakan, tetapi juga ia menanam semangat patriotik dan cintakan negara.
“Saya juga sedang membuat pertimbangan sama ada untuk menjadikan bidang ketenteraan sebagai kerjaya pilihan,” katanya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik UTM.
Penggerak Daily