Dakwaan pembangkang bahawa negara menjurus ke arah pemerintahan diktator sekiranya darurat ekonomi diisytiharkan adalah tindakan melulu dan tidak bertanggungjawab oleh ahli Parlimen, kata Mohamed Azmin Ali.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata sebalik berdiri bersama kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi, pemimpin pembangkang memilih untuk menyemai rasa takut dan kebencian rakyat terhadap usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam menjamin kesihatan, keselamatan awam serta pemulihan ekonomi.
Azmin, yang juga menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri, berkata adalah wajar dan tepat bagi semua pihak bersatu di belakang usaha mengurangkan pandemik dan melandaikan lengkungan Covid-19 di samping memastikan gangguan minimum terhadap ekonomi.
“Biar kita jelas. Musuh sebenar kita adalah Covid-19 dan kita harus menghargai pengorbanan dan usaha barisan hadapan yang bekerja keras siang dan malam dan masih terus melakukannya untuk memerangi virus maut ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pada Jumaat, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedang membawa negara ke arah pemerintahan diktator berhubung ura-ura kerajaan PN memohon untuk melaksanakan langkah-langkah darurat.
Azmin berkata pandemik bertambah buruk dengan kes melonjak ke tahap membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan kerajaan sedang berusaha keras untuk menangani cabaran baru itu.
Katanya, sejak lonjakan kes yang luar biasa dengan permulaan gelombang ketiga, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri mengadakan mesyuarat pada setiap hari sejak 24 hari lalu.
“Bersama pakar kesihatan, angkatan tentera dan anggota keselamatan dalaman serta penasihat ekonomi, perdana menteri memberikan kepemimpinan yang tegas sambil secara aktif mempertimbangkan bukan sahaja tindakan jangka pendek tetapi pertengahan dan jangka panjang bagi menangani krisis secara holistik.
“Tidak boleh ditekankan bahawa tindakan balas dan pencegahan kita harus melampaui isu-isu kesihatan dan ekonomi untuk memasukkan persoalan kawalan sempadan dan menjaga keselamatan wilayah kita.
“Kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksana semua aktiviti pemantauan secara berkesan,” katanya.
Pada masa sama, katanya , agensi berkenaan mesti diberi kuasa melalui proses perlembagaan untuk melaksanakan tindakan pantas terhadap semua ancaman termasuk pendatang asing tanpa izin yang berisiko tinggi menyebarkan Covid-19 atau penyakit berjangkit lain.
Oleh itu, beliau menggesa semua pemimpin politik untuk mengenepikan ideologi politik masing-masing dan kepentingan diri demi kebaikan kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.