JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan memastikan jentera yang digerakkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sentiasa mengutamakan kepentingan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) membabitkan wabak Covid-19.
Pengerusi BN Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pihaknya berharap perkara itu menjadi ciri utama dalam jentera mereka ketika berkempen.
Katanya, pihaknya juga telah membuka ‘command centre’ di bangunan pejabat UMNO Negeri Johor untuk mengelolakan perkara tersebut.
“Kita telah membuka ‘command centre’ di Johor dan kita akan pastikan bahawa jentera yang diwujudkan adalah mereka yang meletakkan kepentingan kepada soal menjaga SOP.
“Pematuhan kepada SOP ini penting dan yang saya harap ia akan menjadi satu ciri utama kepada jentera BN dalam PRN Johor kali ini,” katanya dalam sidang dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Program Perasmian Penutup Program Taklimat Pilihanraya MIC Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan.
Pada PRN Melaka lalu, BN dikompaun RM10,000 kerana didapati melanggar SOP sewaktu Majlis Pelancaran Jentera PRN Melaka yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Oktober lalu.
Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut dikompaun RM10,000 masing-masing kerana melanggar SOP PRN Melaka pada 19 November lalu.
Dalam pada itu, Hasni turut memuji MIC yang tidak berlengah dalam menggerakkan jenteranya hanya dalam tempoh sehari selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat, semalam.
“Persiapan jentera MIC bukan hanya melibatkan kesemua 56 DUN di Johor tetapi juga jentera daripada MIC pusat dan juga MIC negeri-negeri lain.
“Walaupun keputusan berhubung pengagihan kerusi dan nama-nama calon masih belum dimuktamad tetapi jentera parti di semua peringkat telah digerakkan,” jelasnya.
Penggerak Daily