JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana lelaki untuk berpoligami namun mereka dinasihati berbuat demikian menggunakan saluran disediakan iaitu dengan membuat permohonan Mahkamah Syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, Mahkamah Syariah negeri ini akan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat dalam proses berpoligami sebelum sesuatu kebenaran diberikan.
Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan ‘alasan’ berpoligami itu relevan.
“Poligami bukan soal izin isteri tetapi lebih tepat adalah kebenaran perintah mahkamah, selepas teliti semua keperluan, permohonan secara baik kepada mahkamah menunjukkan suami adil dan menghormati isteri.
“Melalui proses mahkamah, dalam setiap permohonan berpoligami isteri akan dimaklumkan. Isteri akan dipanggil untuk memberikan pendapat berhubung permohonan poligami suaminya dan penilaian akan dibuat kemudian.
“Oleh itu, kita tidak menghalang mana-mana lelaki untuk berpoligami sekiranya mereka mampu berlaku adil dan memenuhi semua syarat-syarat ditetapkan bagi memastikan hak dan kesejahteraan semua pihak terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Amalan Guaman Syarie di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, di sini petang semalam. Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Halid Sono.
Menurut Mohd. Fared lagi, pihaknya telah meluluskan 93 permohonan berpoligami di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Sepanjang 2022, kita telah terima 93 permohonan daripada suami untuk berpoligami dan selepas pemeriksaan kriteria dibuat, kesemua permohonan tersebut diluluskan. Mahkamah tidak berada dalam posisi menolak selagi mana pemohon layak untuk berpoligami.
“Langkah ini dibuat bagi mengelakkan sebarang permasalahan daripada berbangkit pada kemudian hari,” jelasnya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 197 peguam syarie diberi pentauliahan yang membenarkan mereka memberikan perkhidmatan guaman kepada rakyat di negeri ini.
“Kita perlu maklumkan pada tahun ini hanya satu daripada 87 permohonan peguam syarie yang diluluskan.
“Pengambilan ini memang agak terhad, namun ia bukan bermaksud kita menyekat pelantikan peguam syarie, sebaliknya kita hendak mengawal dan menitikberatkan mutu serta kualiti peguam syarie di negeri ini,” ujarnya.
Penggerak Daily