Minggu ini adalah minggu yang penting untuk negara kerana undian Belanjawan 2021 akan berlangsung di Dewan Rakyat. Sejak pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November, pelbagai isu dan pandangan, seruan dan syor, persoalan dan cadangan telah berbangkit.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Azizi, 2 perkara yang dibangkitkan beberapa pihak, iaitu: Adakah Belanjawan 2021 akan mampu menghalang kemerosotan ekonomi? dan Bagaimanakah pula kehilangan pekerjaan jika Covid terus melanda atau bertambah teruk tahun depan?
“Pertama, pencapaian ekonomi negara (KDNK) pada suku ke-3 2020, iaitu -2.7% adalah pencapaian yang terbaik di kalangan negara Asia Tenggara. Negara lain mencatat penguncupan yang lebih ketara, seperti Singapura -7%, Indonesia -3.5% dan Filipina -11.5%.”, jawab Tengku Zafrul menerusi laman facebook rasminya.
“Kedua, kadar pengangguran negara terus menurun dan stabil. Dari kemuncak 5.3% pada bulan Mei, ia kini 4.6% pada bulan September 2020. Ya, saya sedar ada cabaran dari segi pengurangan gaji, underemployment dan sebagainya. Saya ulas lanjut nanti.”
Menurutnya lagi, ini adalah antara indikator bahawa pelbagai usaha Kerajaan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi sedang membuahkan hasil.
Menjawab berkaitan usaha kerajaan mewujudkan 500,000 pekerjaan, beliau menjawab pencapaian setakat ini menunjukkan pengangguran berkurangan daripada 5.3% kepada 4.6% adalah antara lain, hasil beberapa program pengekalan pekerjaan dan menyokong perniagan termasuk Program Subsidi Upah (PSU) dan PSU 2.0 yang keseluruhannya bernilai RM18 bilion.
“Di bawah PRIHATIN sejak April ia diberi selama 3 bulan; PRIHATIN PKS ia diluaskan dan nilai ditambah, kemudian di bawah PENJANA ia dilanjutkan lagi 3 bulan dan merangkumi pekerja yang cuti tanpa gaji daripada beberapa sektor”,
“Kemudian di bawah KITA PRIHATIN, sekali lagi ia dilanjutkan untuk 3 bulan. Sehingga 31 Oktober 2020, RM12.4 bilion subsidi upah telah diluluskan untuk memanfaatkan lebih 322 ribu majikan serta lebih 2.7 juta pekerja”.
“Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan sehingga 23 Oktober 2020, lebih 64 ribu pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan. Ini termasuk OKU, mereka berumur 40 tahun ke atas, dan mereka yang lama menganggur”,
“Program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi meningkatkan keboleh pasaran bagi golongan belia dan penganggur. Sehingga 23 Oktober 2020, seramai lebih 105 ribu individu telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan”.
“Bagi Belanjawan 2021 pula, Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja), menyasarkan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu. Ini termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion:.
PenggerakDaily