JOHOR BAHRU: Sebuah bom lama jenis ‘Aerial Bomb’ atau Unexploded Ordnance (UXO) yang ditemui di Ladang Inas Selatan, Kulai, telah berjaya dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Johor dan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, hari ini.
Polis Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, bom seberat 36 kilogram (kg) itu dimusnahkan pada pukul 2.07 petang, semalam.
Jelas kenyataan itu, bom tersebut dijumpai semasa kerja-kerja membersihkan ladang kelapa sawit oleh kontraktor FGV Inas Selatan sedang dilakukan.
“Bom tersebut dipercayai dilancarkan sewaktu perang dunia kedua diantara Disember 1942 hingga Ogos 1945.
“Tindakan pemusnahan In Situation telah dijalankan dengan menggunakan teknik ‘High Order’ melalui kaedah elektrik.
“Pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, Polis Johor menyeru orang ramai agar melaporkan segera ke balai polis berdekatan sekiranya terjumpa apa-apa objek yang mencurigai atau menyerupai bom.
“Diingatkan juga agar objek berkenaan tidak diusik, dialih atau digerakkan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ujar kenyataan itu lagi.
Penggerak Daily