Bomba membantu memandikan sebanyak 54 ekor kerbau peliharaan Mowgli Malaysia atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, 15, yang masih hidup di kandang Kampung Kubang Bujuk di sini hari ini.
Ketua operasi, Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Ahmad Khairi Mamat berkata, proses memandikan kerbau di dalam kandang itu memakan masa selama setengah jam bermula jam 9.30 pagi menggunakan sebanyak 3,600 liter air dari tangki yang dibawa jentera bomba ke kawasan kandang tersebut.
Menurutnya, tugas memandikan kerbau itu adalah khidmat khas yang diberikan pihak bomba terhadap kerbau-kerbau yang masih hidup yang berdepan ancaman penyakit dipercayai hawar berdarah.
“Ini pertama kali kita lakukan semburan terhadap haiwan ternakan menggunakan pili bomba dan tugas ini merupakan khidmat khas oleh pihak bomba kepada keluarga Muhammad Syukur.
“Kita harap dengan proses ini ia dapat menyejukkan badan kerbau dan ia akan bertambah sihat untuk terima suntikan vaksin daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya ketika ditemui di kandang kerbau itu hari ini.
Pihak bomba melaksanakan khidmat khas memandikan kerbau di kandang di Kampung Kubang Bujuk di Kuala Terengganu hari ini.
Sementara itu, abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 30, berkata, kerbau itu perlu dimandikan kerana haiwan berkenaan tidak tahan cuaca panas dan suka berendam di dalam air.
“Biasa kita akan mandikan atau bawa ia berendam dalam air berhampiran kandang ini. Tetapi, dalam situasi sekarang kerbau perlu dikuarantin jadi kita tak boleh bawa ke tempat lain.
“Untuk sementara waktu ini kita terpaksa mandikan ia seekor demi seekor menggunakan air yang diangkut menggunakan lori pada jarak tiga kilometer dari rumah. Ia agak memakan masa tambahan pula cuaca agak panas sekarang.
“Kita amat bersyukur dengan kehadiran pihak bomba kerana ia memang benar-benar membantu kita,” katanya.
Berkongsi perkembangan terbaharu kerbau, katanya, tiada kes melibatkan kematian kerbau di kandang itu dan ia tidak menunjukkan terdapat jangkitan hawar berdarah sejak dua hari lalu.
“Sejak kelmarin kerbau-kerbau ini menunjukkan perkembangan positif di mana sudah dua hari tiada kes kematian yang berlaku,” katanya.
Sumber: Sinar Harian