JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengisi hampir 1,000 kekosongan keanggotaan di Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negara dengan pengambilan baharu bermula 16 Ogos ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pertambahan anggota itu merupakan antara pengambilan terbesar yang pernah dilaksanakan jabatan berkenaan.
“Kami telah memberikan latihan kepada seramai 690 anggota baharu yang akan ditempat bagi mengisi pelbagai kekosongan jawatan terutamanya jawatan kritikal di balai bomba seluruh negara.
“280 lagi anggota bomba juga telah menamatkan latihan di Sabah dan Sarawak dan mereka akan mengisi kekosongan jawatan di dua negeri itu, manakala 100 lagi anggota baharu akan menyertai siri latihan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan kepada Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini hari ini.
Tambah Mohammad Hamdan, pengambaran itu melibatkan satu jumlah yang besar kerana prosesnya telah tertangguh selama beberapa tahun akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Dalam tempoh beberapa tahun ini, JBPM agak sibuk dengan pelbagai komitmen termasuk Covid-19 dan pengurusannya bencana, justeru pengambilannya kali ini melibatkan satu jumlah yang agak besar.
“Selain bertujuan untuk mengusir kekosongan keanggotaan di balai bomba baharu, ia juga bertujuan untuk menggantikan pegawai dan anggota yang telah bersara. Bilangan anggota yang bersara setiap tahun dianggarkan sekitar 200 hingga 300 orang,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya telah mengenalpasti beberapa lokasi ‘hotspot’ banjir kilat dan kebakaran hutan di seluruh negara.
“Kita sudah mengenal pasti kawasan hotspot untuk banjir kilat, ribut dan kawasan yang kerap menerima hujan lebat. Kita juga sedang memantau paras air dengan agensi berkaitan dan bersedia daripada segi aset dan sumber manusia,” jelasnya.
Penggerak Daily