Syarikat Swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan di negara ini disaran membuka peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara bagi memberi dorongan terhadap golongan itu membina hidup baharu.
Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan berkata, seramai 900 bekas penghuni Penjara Kajang bekerja dengan pelbagai syarikat melalui Program Penempatan Semula Penghuni sejak tahun lalu.
“Kita menjalinkan kerjasama dengan NGO dan majikan yang menyediakan peluang kerjaya kepada penghuni yang akan bebas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, pihaknya juga menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara dalam program I-Kembali membabitkan enam sektor iaitu industri perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan
Menurutnya, bekas penghuni penjara yang terpilih akan melalui satu proses saringan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian.
“Majikan tidak perlu curiga untuk mengambil bekas penghuni penjara bekerja kerana kita telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang disarankan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, peluang berkenaan dapat memberi motivasi kepada bekas penghuni penjara untuk lebih bersemangat dan memulakan hidup baru dengan kerjaya yang stabil,” katanya.
Sumber: Sinar Harian