JOHOR BAHRU: UMNO Johor mengingatkan barisan kepimpinan kerajaan Perpaduan hari ini agar tidak sengaja bermain dengan isu perkauman yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman sehubungan itu berkata, pemimpin terlibat boleh berhenti memberikan cadangan mengarut yang tidak sensitif terhadap rakan kerjasama dalam kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk mengangkat kampung baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO bukan sahaja munasabah, malah tiada nilai tambah untuk kemakmuran dan kestabilan negara.
“Cadangan mengarut itu hanya akan mencetuskan rasa tak selesa dan menyentuh sensitiviti kaum dalam negara hingga boleh menggugat perpaduan kaum di Malaysia.
“Sepatutnya sebagai Menteri KPKT, Kor Ming kena fokus kepada usaha menaik taraf isu perbandaran dan juga memperkasa kredibiliti pihak berkuasa tempatan selain tumpu kepada menyelesaikan banyak masalah berbangkit babitkan rakyat.
“Bukannya sibuk buang masa nak fikirkan untuk wartakan kampung baru Cina sebagai tapak warisan yang hanya menguntungkan satu pihak sahaja,” tegasnya.
Abdul Halim yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tebrau turut memberitahu, semua pihak terutama dalam barisan Kabinet perlu mengekalkan keharmonian dan perpaduan tanpa mengambil kesempatan mencetuskan isu yang boleh menyebabkan polemik perpecahan.
“Sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Johor, saya minta kepada semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Madani ini supaya dapat mengekalkan Keharmonian dan bekerja sebagai satu pasukan dengan menjaga hubungan murni serta peka sensitiviti rakyat dalam negara ini.
“Ini kerana kekuatan Malaysia terletak kepada keutuhan perpaduan serta sikap hormat menghormati antara kaum. Kita sepatutnya kurangkan polemik politik yang hanya untuk keuntungan peribadi dan parti saja, namun lebih kepada untuk membina sebuah negara yang makmur, aman dan harmoni,” jelasnya.
Penggerak Daily