Generasi muda berkemahiran menjadi fokus calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas untuk melonjakkan ekonomi setempat pasca Covid-19.
Bagi Dr Chang Kee Ying, generasi muda perlu dilengkapkan dengan kemahiran tinggi supaya boleh mempelbagaikan pendapatan dalam keadaan kelembapan ekonomi dunia.
Menurutnya, lebih banyak program kemahiran akan diperkenalkan sekiranya BN diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Doktor pergigian berusia 32 tahun itu berkata, golongan muda seharusnya berani mengambil cabaran menceburi bidang keusahawanan dan tidak harus bergantung sepenuhnya dengan makan gaji.
“Potensi memang banyak untuk generasi muda ceburi bidang usahawan kerana ini lebih baik dari terus makan gaji kerana banyak majikan yang terjejas akibat Covid-19.
“Jadi adalah lebih baik melengkapkan diri dengan kemahiran seterusnya menjadi usahawan kerana peluang menjana pendapatan lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kompleks Sukan Likas hari ini.
Beliau berkata, selaku calon muda, dia juga mengambil cabaran bersaing dengan calon dari parti lain secara sihat.
Katanya, potensi sama rata untuk calon yang bertanding namun pengundi diharap memilih individu yang mampu mengubah landskap sosio ekonomi dan infrastruktur setempat.
“Saya seronok berkhidmat untuk rakyat dan berharap mandat dapat diberikan kepada BN,” katanya.
Sumber: Harian Metro